Ramadhan semakin mendekati kita. Tinggal kurang seminggu saja
dari sekarang. Apakah kita sudah mula berkira-kira dan merancang persiapan
menujunya? Apakah kita sudah mula mendidik anak-anak kita di rumah, kawan-kawan
kita di sekolah untuk mula melakukan persiapan menujunya?
Kalau belum, maka marilah merancang bersama kami !
Tetapi, kenapa kita perlu merancang pula? Tidak bolehkah kita
masuk begitu saja ke dalam Ramadhan? Tak bolehkah kalau kita masuk ke dalam
Ramadhan, kita puasa sajalah, bukan susah pun, kan?
Apa Yang Dikejar Sebenarnya Di Dalam Ramadhan?
Kalau ingin berpuasa, maka ia tidaklah susah sangat bagi yang
sudah membiasakan diri.
Kalau sekadar ingin memenuhi rutin menghabiskan 30 Juz Al-Quran,
pun tidaklah sesusah mana.
Kalau sekadar ingin solat sunat tarawih 8 atau 20 rakaat setiap
malam, ia tidaklah membebankan.
Maka, apakah sebenarnya yang kita kejar di dalam Ramadhan ini?
Matlamat akhir di dalam Ramadhan ini bukanlah pada amalan itu
semata-mata. Maksudnya bila kita disuruh melakukan puasa, maka bukan terhenti
setakat itu saja matlamatnya. Begitu juga, bila disebut ganjaran untuk orang
yang membaca AL-Quran di bulan ini sangat besar, bukanlah bermakna kita harus
terhenti setakat membaca Al-Quran itu saja. Begitu jugalah amalan yang lain.
Semua amalan kebaikan itu bermatlamatkan pada satu matlamat yang
tinggi iaitu sebagaimana yang disebutkan oleh Allah s.w.t. dalam surah
Al-Baqarah yang bermaksud :
“Wahai orang beriman, diwajibkan ke atas kamu
untuk berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas ummat-ummat terdahulu sebelum
kamu, agar kamu semua bertaqwa.” [Al-Baqarah : 183]
TAQWA. Itulah intipati atau matlamat utama kepada Ramadhan.
Taqwa itu membentuk hamba Rabbani, bukan hamba Ramadhani. Dalam
kata lain, ia tidak menjadikan seseorang itu beramal hanya untuk dan di dalam
Ramadhan, tetapi memberikan kesan untuk seseorang itu tetap terus melakukan
amal kebaikan biar di luar Ramadhan.
Umpama membaca Al-Quran. Kalau di dalam Ramadhan kita
membanyakkan bacaan Al-Quran, maka amalan itu perlu diteruskan juga setelah
berada di luar Ramadhan. Itulah kesan Taqwa. Orang yang bila keluar daripada
Ramadhan, tetapi tidak berusaha meneruskan kebaikan-kebaikan yang dia telah
usahakan di dalam Ramadhan atau kembali menjadi jahat, maka seakan-akan dia
tidak mendapat hasil atau manfaat dari Ramadhan yang telah ditempuhinya selama
sebulan itu.
Begitulah besarnya harga taqwa, matlamat paling besar untuk
dicapai di dalam Ramadhan.
Sebab itulah kita perlu melakukan warming up ataupun latihan
menujunya !
Biar kita tidak hanya berpuasa, tetapi kita tahu dan sedar
bahawa kita sedang mengejar taqwa.
Biar kita tidak hanya membaca Al-Quran, tetapi kita berusaha
memahami ayat Al-Quran, berusaha mengamalkannya dalam rangka untuk mengejar
taqwa.
Orang yang bertaqwa dijanjikan syurga oleh Allah s.w.t. :
“Dan bersegeralah kamu kepada keampunan dan
syurga yang seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa.”
[Al-Imran : 133 ]
Begitu besar ganjaran taqwa di sisi Allah s.w.t., maka takkanlah
persediaan kita untuk mendapatkannya ala-balai atau sambilewa saja?
Apa Perancangan Anda? Mari Merancang Bersama
Kami.
Kita merancang untuk Ramadhan ini supaya kita dapat melaluinya
dengan penuh keimanan dan keikhlasan serta kesungguhan. Biar 30 hari ini
benar-benar memberikan manfaat untuk bekalan kita sepanjang tahun.
Sabda Nabi s.a.w. :
“Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan
dengan penuh keimanan dan ihtisaban (mengira-ngira – tidak puas hati dengan
amalannya) diampunkan dosanya yang lepas.” [HR Bukhari Muslim]
Ibn Hajar menyatakan bahawa iman yang dimaksudkan dalam hadis
ini adalah meyakini kefardhuan puasa itu sendiri sementara ihtisaban itu pula
adalah meminta ganjaran dari Allah s.w.t.
Imam Nawawi pula menyatakan bahawa ihtisaban itu adalah
semata-mata mengharapkan ganjaran Allah s.w.t., bukanlah perhatian dari manusia
atau apa-apa saja yang bercanggahan dengan keikhlasan.
Dalam rangka mengharapkan ganjaran Allah s.w.t. itulah, maka
marilah persiapkan diri kita dengan amal-amal yang berkualiti agar kita tidak
exhausted (semangat di awal, penat bila masuk pertengahan dan akhir).
1) Ajak anggota keluarga atau
kawan-kawan rapat untuk bersama-sama puasa sunat di dalam bulan Syaaban. Kalau
tidak mampu melakukannya pada kebanyakan hari, paling kurang pun berusahalah
pada hari Isnin atau Khamis.
2) Ramadhan adalah bulan
diturunkan Al-Quran. Maka berusahalah tingkatkan frekuensi bacaan dan pemahaman
kita terhadap ayat-ayat Al-Quran. Pada sengkang-sengkang masa yang ada, ajaklah
anggota keluarga untuk mengadakan majlis tadabbur Al-Quran. Luangkan dalam
majlis itu untuk merujuk tafsir para ulama’ pada ayat-ayat tertentu yang kita
baca supaya kita dapat mendalami lebih lagi apa yang ingin disampaikan oleh
Allah s.w.t. melalui ayat-ayatNya.
3) Meluangkan masa sekali-sekala
untuk membaca dan mendalami Fiqh Siam (Fiqh Puasa). Antara kitab yang boleh
dirujuk adalah kitab Dr Yusuf Al-Qaradawi berkaitan dengan Fiqh Siam ini.
4) Melatih diri dengan akhlak
mulia dan banyak membantu orang lain. Sedekah adalah salah satu jalan membantu
orang lain.
5) Memperbaiki interaksi dan cara
bercakap dengan orang agar kita terhindar daripada kebiasaan mengumpat dan
mengeji manusia yang akan mengurangkan lagi kesempurnaan puasa kita di Ramadhan
nanti. Bahkan, mengumpat dan mengeji yang tiada bertujuan itu sendiri adalah
satu dosa. Ramai sekali orang yang berpuasa, tetapi telah mengurangkan
kesempurnaan puasanya dengan bergosip, mengumpat dan mengeji manusia.
6) Di dalam ayat Al-Quran yang
bersambungan dengan ayat berkaitan Ramadhan, Allah telah menyebut perihal doa
dan kemakbulannya. Latihlah diri kita untuk bersungguh-sungguh di dalam berdoa.
Ada orang yang bersambilewa sahaja di dalam doanya kemudian mengharapkan
bantuan Allah ke atas dirinya. Seolah-olah mahu pinjam sesuatu dari majikannya,
tetapi main-main ketika memintanya. Mintalah bersungguh-sungguh dengan hati
yang ikhlas dan bersedia.
Inilah antara persediaan-persediaan yang kita boleh lakukan
dalam rangka menuju ‘ihtisaban’ seperti yang disebutkan di dalam hadis Nabi
s.a.w. itu.
Kita tidak mudah merasa puas dengan amal yang telah kita
lakukan, tetapi kita sentiasa berkira-kira untuk meningkatkan lagi kualitinya
ke tahap yang Allah mahukan.
Penutup : Menuju Ramadhan Yang Terancang !
Kalau hendak mendapatkan kejayaan sekecil kejayaan peperiksaan
di dunia seperti UPSR dan PMR pun perlukan perancangan dan perlaksanaan yang
baik sejak awal sebelum masuk hari peperiksaan. Maka, apakah hendak mendapatkan
kejayaan yang lebih besar, iaitu taqwa yang akan memudahkan perjalanan kita ke
syurga itu, kita boleh melakukannya dalam keadaan sambilewa dan ambil mudah
sahaja?
Syurga itu tempat luar biasa untuk orang biasa yang berusaha
secara luar biasa.
Rancanglah persiapan menuju Ramadhan agar kita tidak menjadi
orang yang bersemangat di awal Ramadhan tetapi kemudiannya ‘exhausted’ di
pertengahan dan akhirnya.
Ramadhan hanya 30 hari. Tersangat singkat tempoh untuk kita
merebut taqwa ini.
Taqwa yang Allah sebutkan di dalam surah At-Talaq :
“Barangsiapa bertaqwa kepada Allah,maka Dia
akan menjadikan baginya jalan keluar dan menganugerahkannya rezeki dari arah
yang tak disangka-sangka.”[At-Talaq :2-3]
Mari rancang persiapan menuju Ramadhan kita. Biar Ramadhan kali
ini menjadi lebih baik berbanding Ramadhan yang telah lepas. Jangan
disia-siakan musim bunga bagi orang beriman ini.
Setahun selepas ini, belum tentu kita diizinkan untuk bertemunya
lagi. Maka hargailah Ramadhan kali ini.
Menuju Ramadhan yang terancang !
Afdholul Rahman bin Che Ani
Ekonomi dan Perbankan Islam
Tahun 3,Universiti Yarmouk.
No comments:
Post a Comment