Puasa - TAKRIF,PENSYARIATAN DAN RAHSIA

Gambar Hiasan

Puasa dari sudut bahasa bererti : Menahan diri daripada sesuatu sama ada kata-kata ataupun makanan. Firman Allah taala menceritakan tentang Maryam.(1)

قال تعالى : إِنِّي نَذَرْتُ لِلرَّحْمٰنِ صَوْمًا

"Sesungguhnya aku bernazar untuk berpuasa kerana (Allah) Ar-rahman". (Maryam : 26)

Puasa disini bermaksud menahan diri dan berdiam diri daripada berkata-kata.

Puasa dari sudut syarak pula bermaksud  menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari disertai dengan niat.


Sejarah Pensyariatan Puasa(2)

Puasa ramadhan difardhukan pada bulan syaaban tahun kedua hijrah. Sebelum itu, puasa telah diketahui oleh umat islam sebelumnya dan juga ahli kitab yang hidup sezaman dengan Nabi SAW 

Firman Allah Taala :

قالى تعالى : يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum daripada kamu, supaya kamu bertakwa.  Al-Baqarah : 183

Walau bagaimanapun, kewajipan puasa ramadhan tidak pernah disyariatkan sebelum itu. Persamaan yang wujud diantara umat ini dengan umat islam dahulu ialah puasa yang disyariatkan. Tetapi kefardhuan puasa ramadhan dikhususkan hanya kepada Umat Nabi Muhammad SAW.

Dalil Disyariatkan Puasa Ramadhan  (3)

قالى تعالى : شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya : “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur. ” Al-Baqarah : 185


عمر بن الخطاب رضي الله عنهما قال : سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : ( بني الإسلام على خمس : شهادة أن لا إله إلا الله ، وأن محمدا رسول الله ، وإقام الصلاة ، وإيتاء الزكاة ، وحج البيت ، وصوم رمضان ) رواه البخاري و مسلم

Islam dibina atas lima perkara : mengakui bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, menunaikan haji, dan puasa pada bulan Ramadhan (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hukum Meninggalkan Puasa Ramadhan Tanpa Keuzuran  (4)

Puasa Ramadhan adalah salah satu daripada rukun islam dan termasuk kewajipan  yang  diketahui dalam agama . maka orang yang mengingkari kewajipannya adalah kafir dan dia hendaklah diperlakukan sebagaimana diperlakukan terhadap orang murtad. Dia hendaklah diminta untuk bertaubat. Sekiranya dia bertaubat, maka  taubat itu diterima  melainkan  dia enggan bertaubat maka dia dihukumkan   sebagaimana pelaksanaan  hukum hudud terhadap kesalahan murtad . demikian juga  sekiranya dia bukan seorang yang baru memeluk islam ataupun dia hidup membesar jauh daripada pembangunan, maksudnya jauh dari tempat ulama’ (orang bijak pandai).

Manakala orang yang meninggalkan puasa tanpa keuzuran dan dia tidak mengingkari kewajipan puasa  itu, sebaliknya  dia berkata : “Saya wajib berpuasa tetapi saya tidak mahu berpuasa, maka orang ini hukumnya fasik dan tidak kafir”. Oleh itu , pemerintah orang islam  wajib menahan dan menghalangnya daripada makan dan minum pada waktu siang supaya dia menunaikan ibadah puasa  walaupun sekadar pada zahirnya sahaja.

Di antara Hikmah, Rahsia dan Faedah Puasa

Puasa Ramadhan adalah ibadah yang telah difardhukan oleh Allah Taala. Maksud Ibadah di sini  ialah seseorang muslim melaksanakan ibadat tersebut  dengan melaksanakan segala perintah  Allah Taala dan menunaikan hak perhambaan kepadanya tanpa melihat apa-apa natijah yang mungkin dihasilkan daripada ibadah puasa. Sekiranya seseorang muslim telah melakukan perkara tersebut, maka selepas itu tiada halangan baginya untuk mencari hikmat dan rahsia ketuhanan yang tersembunyi di sebalik sesuatu ibadah seperti puasa dan sebagainya. Suatu perkara yang tidak diragukan lagi ialah hukum-hukum Allah Taala semuanya mempunyai hikmat, rahsia, dan faedah untuk hamba. Tetapi tidak disyaratkan hamba itu mengetahui perkara tersebut.

Tidak diragukan juga bahawa puasa mempunyai hikmat dan faedah yang cukup banyak yang kadang-kadang sebahagiannya diketahui oleh hamba, tetapi masih banyak lagi yang tidak diketahui oleh  mereka.

Di antara hikmat dan faedah puasa yang mungkin diketahui oleh seseorang muslim  ialah :

  • Di antara sifat puasa yang sahih ialah menyedarkan hati seorang mukmin  terhadap muraqabah Allah Azzawajalla. Ini disebabkan apabila orang yang berpuasa,maka dia akan  menghabiskan sebahagian waktu siangnya dengan merasai lapar dan dahaga, maka jiwanya inginkan makanan dan minuman . Tetapi perasaannya  mengetahui bahawa dirinya  sedang berpuasa dan  menghalangnya daripada memenuhi kehendak jiwanya sebagai melaksanakan perintah Allah Azzawajalla. Daripada penentangan jiwa ini akan lahirlah kesedaran hati dan menyuburkan  perasaan terhadap sifat  muraqabah Allah Taala serta berterusanlah ingatannya terhadap rububiyyah dan  kekuasaan Allah. Begitu juga dia akan sentiasa sedar bahawa dia adalah hamba yang tunduk kepada hukum Allah dan mematuhi kehendak-Nya.
  • Ramadhan adalah satu bulan istimewa dibandingkan dengan semua bulan dalam satu tahun. Allah Azzawajalla menghendaki hambaNya supaya memenuhkannya dengan ketaatan dan mendekatkan diri kepadaNya. Begitu juga kita perlu  mengisi dalam bulan Ramadhan ini dengan setinggi-tinggi makna penghambaan kepada Allah Azzawajalla. Alangkah sukarnya untuk merealisasikan perkara ini apabila berhadapan dengan hidangan makanan dan minuman  serta memenuhkan isi perut yang akhirnya membangkitakan hawa nafsu serta malas melakukan ketaatan kepada Allah. Jadi pensyariatan puasa pada bulan Ramadhan ini adalah jalan yang paling mudah untuk membangkangi hawa nafsu seterusnya  untuk memenuhi hak-hak  Allah dan melaksanakan kewajipan serta  perhambaan kepadaNya.
  • Sesungguhnya kehidupan seseorang muslim yang sentiasa berada dalam keadaan kenyang pasti akan membentuk   jiwa dan hati yang keras   dan menyuburkan faktor-faktor pelampauan. Kedua perkara ini adalah bertentangan dengan fitrah sebenar seseorang muslim. Jadi pensyariatan puasa akan membersihkan jiwanya dan menghaluskan perasaannya.
  • Di antara prinsip terpenting tertegaknya masyarakat Islam ialah saling kasih mengasihi dan sayang menyayangi sesama umat Islam. Amat sukar bagi si kaya untuk mengasihi si fakir dengan kasih sayang yang sebenarnya tanpa dia merasai keperitan, kepayahan, kemiskinan dan  kelaparan serta penderitaan yang dialami oleh si miskin. Jadi,Bulan Ramadhan adalah sebaik-baik peluang untuk memberi bantuan dan kasih sayang kepada golongan miskin serta menyelami perasaan hati mereka. Ini menjadikannya juga merasai kesusahan hidup yang dialami oleh golongan fakir miskin yang sukar untuk mendapat makanan. Dari sini puasa adalah sebaik-baik perkara yang dapat  menimbulkan faktor-faktor kasih sayang, rahmat dan kasihan di dalam jiwa si kaya.
Kesimpulannya,pensyariatan puasa bukanlah sekadar perintah Allah kepada hamba-hambanya.tetapi puasa juga mendidik jiwa dan nafsu agar sentiasa melakukan ketaatan kepada Allah.selain itu,puasa juga mengandungi pelbagai rahsia dan hikmat kebaikan kepada seseorang hamba yang sepatutnya ia  menerokai fadhilat-fadhilat yang ditawarkan oleh Allah dalam bulan ramadhan ini.

Fatin Awanis Binti Ayub,
Tahun 1 Fiqh wa usuluhu,
Universiti Mu'tah.


No comments:

Post a Comment

Recent Posts

Get in Touch