KESEDARAN MENUNTUT ILMU




                “Ilmu”, satu perkataan yang tidak asing lagi dalam kehidupan seorang insan yang berakal. Tiada satu sosok tubuh di dunia ini yang tidak pernah mendengar perkataan itu. Tetapi berapa ramai di kalangan kita yang menyedari hakikat sebenar ilmu? Bagi mengupas dengan lebih lanjut, ayuh sama-sama kita merungkai definisi ilmu dan sejauh mana pengaplikasiannya dalam masyarakat Islam khususnya.
Perkataan ilmu dari sudut bahasanya adalah berasal daripada perkataan arab iaitu calima, yang bererti mengetahui atau perbuatan yang bertujuan untuk mengetahui tentang sesuatu dengan sebenarnya. Sementara ilmu dari segi istilah memberi erti tentang segala pengetahuan atau kebenaran tentang sesuatu yang datang dari Allah s.w.t yang diturunkan kepada rasul-rasulnya dan alam ciptaannya termasuk manusia yang memiliki aspek lahiriah dan batiniah.


Secara umumnya, ilmu didefinisikan sebagai pengetahuan dan kepandaian tentang sesuatu bidang yang disusun secara bersistem menurut kaedah dan metod tertentu yang dapat digunakan untuk menerangkan sesuatu yang berkait dengan bidang ilmu tersebut. Ilmu pengetahuan pada lazimnya terdapat dalam dua bentuk iaitu ilmu pengetahuan nyata (explicit knowledge) dan ilmu pengetahuan tidak nyata (tacit knowledge). Ilmu pengetahuan nyata boleh didapati kebanyakannya dalam bentuk dokumen bercetak manakala ilmu pengetahuan tidak nyata pula terdapat dalam idea, minda, amalan harian, pengalaman, memori dan seumpamanya yang kebiasaannya sukar dilihat dengan mata kasar. [Noraziah Sharuddi, 2002]
Dalam zaman moden ini pengertian ilmu telah disempitkan dan dimodenkan kepada pengetahuan maklumat dan kemahiran sahaja. Dalam pengertian barat moden, ilmu hanyalah merujuk kepada pengenalan atau persepsi yang jelas tentang fakta. Fakta pula merujuk kepada perkara-perkara yang boleh ditanggapi oleh pancaindera zahir dan bersifat empiris. Kewujudan perkara lain di luar keupayaan pancaindera tersebut dianggap bukan fakta dan tidak termasuk dalam bidang ilmu. Mengikut pandangan mereka secara automatik ajaran agama terkeluar daripada takrif dan ruang lingkup ilmu dan dianggap sebagai kepercayaan semata-mata.
Islam telah menghimpun antara agama dan ilmu. Tidak ada sebarang penentangan antara agama dan ilmu kerana dalam Islam, agama itu sendiri adalah ilmu dan ilmu adalah agama. Ilmu menurut perspektif Islam dikenali sebagai sifat, proses dan hasil. Manakala istilah ilmu dalam Islam merangkumi pelbagai perkara iaitu al-Quran, syariah, sunnah, iman, ilmu kerohanian, hikmah, makrifat, pemikiran, sains dan pendidikan.
                Menyedari hakikat sebenar ilmu, kita diwajibkan untuk menuntut ilmu dengan segala daya upaya yang kita ada. Dalam Islam, menuntut ilmu merupakan satu kewajipan yang tidak boleh kita sangkal. Telah dating kepada kita dalil seruan menuntut ilmu dan disajikan kepada kita kebaikan, kelebihan dan manfaat bagi sesiapa yang melaksanakannya.  Baginda Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya; “Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas tiap-tiap orang Islam lelaki dan perempuan.” Berdasarkan hadis tersebut, jelas bahawa menuntut ilmu itu adalah suatu perkara yang penting dan menjadi kewajipan bagi setiap orang Islam.
                Antara signifikan menuntut ilmu yang telah digariskan oleh wahyu-NYA yang telah menjadi risalah seluruh ummat Islam sejak 1434 tahun yang lalu;
  1.  Ilmu dapat meninggikan dan membezakan taraf di kalangan manusia. Firman Allah dalam surah al-Zumar, ayat 9 ;
    قل هل يستوي الذين يعلمون والذين لا يعلمون. انما يتذكر أولولوا الألبب
    Maksudnya; “Katakanlah adakah sama orang-orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu? Sesungguhnya mereka yang mendapat peringatan dan petunjuk hanyalah di kalangan hambanya yang berilmu dan bijaksana"
  2.  Ilmu dapat membentuk keperibadian yang baik dan menjadikan seseorang itu bertaqwa dan cintakan Allah s.w.t dan RasulNya. Firman Allah dalam surah al-Fathir, ayat 28 ;
    انما يخشى الله من عباده العلمؤا
    Maksudnya ; “Sesungguhnya yang takutkan Allah daripada hambanya ialah orang-orang yang berilmu”
  3. Kedudukan serta martabat orang yang berilmu diangkat dan diletakkan ditempat yang lebih tinggi. Dengan erti kata lain, ilmu dapat mengangkat darjat seseorang kepada darjat yang tinggi di sisi Allah dan masyarakat. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Mujadalah, ayat 11 ;
    يرفع الله الذين ءامنوا منكم والذين أوتوا العلم درجت. والله بما تعملون خبير
    Maksudnya; "Allah mengangkat beberapa darjat orang-orang yang beriman dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan"

Setelah kita menelusuri segala kelebihan dan kebaikan atas seruan ini, perlu untuk kita tahu sumber ilmu yang bagaimanakah yang seharusnya ummat Islam mendalami dan memahami serta mengamalkan secara total dalam kehidupan. Kerana sumber ilmu memainkan peranan penting dalam mencorakkan keperibadian si penuntut ilmu. Berikut merupakan sumber-sumber ilmu yang digariskan oleh Islam secara umumnya;
Sumber yang pertama adalah wahyu. Wahyu adalah pemberitahuan daripada Allah s.w.t kepada seorang hambanya yang dipilih di kalangan hambanya dengan secara sulit dan rahsia berlainan dari apa yang dialami oleh manusia biasa. Tidak dapat dinafikan lagi wahyu adalah merupakan sumber pengetahuan yang terpenting yang telah disampaikan oleh Allah s.w.t kepada manusia sama ada ianya disampaikan melalui Nabi Muhammad s.a.w atau melalui nabi-nabi yang terdahulu. Wahyu merupakan teras kepada segala ilmu kerana di dalam al-Quran terkandung pelbagai jenis ilmu pengetahuan yang amat diperlukan oleh manusia untuk kemasalahatan hidup juga perkara-perkara ghaib yang tidak dapat dijangkau oleh akal pemikiran manusia.
Keduanya adalah pancaindera. Semua pancaindera seperti sentuhan, ciuman, penglihatan, pendengaran dan deria rasa merupakan sumber pengetahuan yang utama dan amat berguna bagi manusia untuk berinteraksi dengan alam sekelilingnya dengan mudah dan betul. Kelima-lima pancaindera ini merupakan satu cara untuk mendapatkan ilmu pengetahuan melalui beberapa percubaan dan pengalaman yang berulang-ulang. Bagaimanapun kebenaran yang diperolehi tidak semestinya selalu betul dan tepat. Pancaindera kadangkala di dalam keadaan tertentu gagal memberikan gambaran atau penglihatan umpamanya matahari kelihatan kecil oleh mata sedangkan kenyataannya adalah sebaliknya.
Akal merupakan sumber ketiga yang digariskan secara amnya. Akal adalah merupakan sumber utama pengetahuan manusia, malah perbezaan antara manusia dan haiwan adalah melalui hasil tamadun yang diusahakan oleh manusia berpunca dari pemikiran akal manusia yang kreatif. Dengan akal manusia dapat menimbang dan membezakan antara yang baik dan buruk, walaupun mungkin ianya tidak bersifat kebenaran secara mutlak namun ianya memadai untuk mengatasi masalah kehidupan seharian. Bagaimanapun Allah s.w.t menyuruh manusia menggunakan semaksima mungkin kedua-dua daya akal dan pancaindera yang dianugerahkan kepadanya agar dapat sampai kepada pengetahuan sahih dan kebenaran yang tidak menyesatkan. Al-Quran banyak menyebut seruan serta galakan daripada Allah s.w.t agar manusia dapat memerhatikan alam sekeliling mereka dengan akal dan pancaindera bagi mencari kebenaran yang hakiki.
Namun harus diingat, bahawa akal tidak seratus peratus tepat jika tidak dipandu oleh wahyu yang juga sumber utama kepada ilmu pengetahuan. Kerana akal boleh dikawal oleh hawa nafsu dan kehendak manusia tanpa disedari. Oleh itu menggunakan akal wajib diselaraskan dengan sumber yang berasaskan wahyu.
Dan dalam penuntut ilmu bersumberkan penggunaan akal, sama sekali kita tidak boleh mencampur adukkan antara kehendak nafsu dan syariat Islam.
Firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ يَكْفُرُونَ بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ وَيُرِيدُونَ أَنْ يُفَرِّقُوا بَيْنَ اللَّهِ وَرُسُلِهِ وَيَقُولُونَ نُؤْمِنُ بِبَعْضٍ وَنَكْفُرُ بِبَعْضٍ وَيُرِيدُونَ أَنْ يَتَّخِذُوا بَيْنَ ذَٰلِكَ سَبِيلً
أُولَٰئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ حَقًّا ۚ وَأَعْتَدْنَا لِلْكَافِرِينَ عَذَابًا مُهِينًا
“Sesungguhnya orang-orang yang kafir kepada Allah dan rasulNYA dan hendak membezakan antara Allah dan para rasulNYA, mereka berkata: Kami beriman kepada setengah (Rasul) dan kafir kepada yang lain dan mereka hendak mengambil jalan tengah antara demikian (neutral). Mereka itu ialah orang yang benar-benar kafir, dan Kami sediakan untuk mereka seksaan yang menghinakan.”
[Annisa:150-151]
Ibnu Taimiyah menerangkan perkara yang tersirat disebalik ayat ini,
“Allah mencela golongan yang telah menerima kitab tetapi masih lagi beriman kepada sesuatu perkara yang di luar risalah. Mereka lebih mengutamakan ‘orang luar’ risalah berbanding orang yang beriman” 
[Ibnu Taimiyah, Majmu’ Fatawa, juzu’12 ms 339]

Imam As Syatibi telah menegaskan perkara ini dengan padat dan ringkas. Kata beliau di dalam kitab 'Al Muwafaqot' : "Sesungguhnya Allah telah menjadikan pengikut hawa nafsu sebagai penentang kebenaran, 

Firman Allah SWT:
Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu) dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu. [38:26]

Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhan yang dipatuhinya dan dia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa dia tetap kufur ingkar) [45:23]

Perhatikanlah! Setiap ayat yang menyebut tentang nafsu, ia mesti dicela dan pengikut nafsu akan dikutuk. Diriwayat dari Ibnu Abbas beliau berkata; "Bilamana Allah menyebut perkataan 'al hawa' di dalam Al Quran, pasti dia mencelanya. Dari sini jelaslah maksud kenapa diturunkan syariat iaitu untuk mengeluarkan kita dari menjadi pengikut kerakusan nafsu.”
[Al-Muwafaqat, Juzu’ 6, ms 121]
 
Kesimpulannya, setiap dari kita mempunyai tanggungjawab dan diwajibkan menuntut ilmu dalam apa jua bidang. Sememangnya masyarakat Islam kini memerlukan kita sebagai aset mahasiswa untuk menjadi peneraju Negara suatu hari nanti. Bagaiman kita mampu melakukan semua ini jika kita tidak mempunyai ilmu? Tempatkanlah diri kita dikalangan mereka yang bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu dan memanfaatkan ilmu tersebut untuk masyarakat suatu hari nanti. Sesungguhnya kita ketandusan cendiakawan Islam muda seperti Imam AsSyafi’e, Al Khawarizmi, Ibnu Sina, Syed Qutb, dan ramai lagi tokoh ilmuan Islam.

AFIFI SALEH ABDUL RAHMAN
TAHUN 2 USULUDDIN
YARMOUK UNIVERSITY

No comments:

Post a Comment

Recent Posts

Get in Touch